Thursday, June 6, 2013

Ragbi Malaysia mampu capai Olimpik

KUALA LUMPUR - Legenda ragbi England, Martin Bayfield berpendapat bukan mustahil untuk Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 2016 dalam sukan lasak tersebut.
Kata Bayfield, Malaysia mampu untuk cemerlang kerana saiz fizikal bukan lagi halangan buat sebuah pasukan memiliki kelebihan mutlak.
Menurutnya, pasukan yang tidak mempunyai kelebihan fizikal masih boleh bersaing andai mempunyai susunan strategi dan taktikal yang baik.
"Memang diakui ragbi memerlukan fizikal yang besar tetapi itu tidak memberikan apa-apa makna andai tidak mempunyai percaturan yang sempurna.
"Sebagai contoh pemain Jepun mempunyai fizikal yang tidak begitu terlalu besar dan tinggi tetapi mereka masih mampu menjadi pasukan yang hebat dan mengapa tidak buat pasukan negara ini (Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan klinik kejurulatihan ragbi di sini, semalam.
Klinik tersebut adalah salah satu program anjuran Dewan Perdagangan Britain Malaysia (BMCC). Selain Bayfield turut terlibat dalam klinik tersebut adalah dua lagi legenda ragbi iaitu bekas pemain kebangsaan Scotland, Gavin Hastings dan Joe Roff dari Australia.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah BMCC, Datuk Peter Wentworth berkata, klinik tersebut adalah kali kesembilan dianjurkan bagi membantu golongan kanak-kanak dan remaja mempelajari teknik bermain ragbi dengan baik.
"Legenda ragbi yang kami jemput ini mempunyai kemahiran tersendiri dan segala ilmu yang mereka ada akan dicurahkan kepada pemain muda di sini.
"Sebagai contoh Bayfield amat mahir dalam posisi sebagai lock foward dan kanak-kanak yang menyertai klinik ini dapat mempelajari ilmu gaya permainan dengan lebih baik menerusi bekas pemain yang kami jemput," kata Wentworth.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130605/su_05/Ragbi-Malaysia-mampu-capai-Olimpik#ixzz2VQ3bVDag
© Utusan Melayu (M) Bhd

Massa dapat casis baru

Montreal: Pemandu Ferrari, Felipe Massa akan mempunyai casis baru yang akan digunakan hujung minggu ini di Grand Prix Kanada selepas dua kali terbabit dengan kemalangan teruk pada perlumbaan terakhir di Monaco, kata pasukan Itali itu.
Massa merempuh halangan di selekoh Sainte Devote pada sesi latihan terakhir dan turut terbabit dengan kemalangan ketika perlumbaan dengan kemalangan pertama disebabkan oleh kesilapan pemandu dan kedua kerana kegagalan suspensi.
Ferrari dalam laman web mereka berkata, Massa akan menggunakan casis baru yang dibuat semula di kilang Maranello apabila berlumba di Montreal.
Prinsipal pasukan, Stefano Domenicali berkata, pasukan akan turut memberi tumpuan kepada beberapa isu yang timbul untuk diselesaikan.
“Apa yang pasti, pasukan ini begitu bersemangat dan kami berazam untuk melupakan apa yang berlaku di Monaco dan menyifatkan ia sebagai insiden terpencil,” katanya.
“Kereta kami sudah membuktikan kekuatan dengan ciri yang baik dalam kebanyakan kes biarpun pada masa yang sama pasukan lain membuktikan mereka lebih pantas,” katanya.
“Saya berpendapat litar Montreal perlu membenarkan kami mengeksploitasikan beberapa perkara utama seperti brek kerana ia adalah perkara utama yang akan diberi penekanan di atas litar ini selain perlu terus berusaha memastikan beberapa perkara untuk diperbaiki.” Pemandu Sepanyol, Fernando Alonso kini menduduki tempat ketiga keseluruhan untuk Ferarri ketinggalan 29 mata kepada juara tiga kali daripada Red Bull, Sebastian Vettel selepas enam perlumbaan. Massa di tempat ketujuh ketinggalan 62 di belakang pemandu Jerman itu.
Ferrari kini menduduki tempat kedua dalam kedudukan pengeluar tidak pernah memenangi perlumbaan di Kanada sejak Michael Schumacher meraihnya pada 2004.

Tuesday, May 28, 2013

SUKAN ALAT PERPADUAN

SERINGKALI ketika berlangsungnya temasya sukan yang besar, masing-masing sanggup bersengkang mata untuk menonton dan memberikan sokongan walaupun di depan televisyen ataupun di pelbagai lokasi strategik seperti kedai makan.

Baik sukan bola sepak Piala Dunia ataupun bola sepak liga Inggeris, Sepanyol dan Itali; lumba kereta F1, dan bola keranjang; penyokongnya bukan sekadar di stadium atau litar perlawanan tetapi juga ditonton merata dunia. Ini menunjukkan setiap sukan ada penyokong dan peminatnya.
Sukan Olimpik juga tidak terkecuali lebih-lebih lagi apabila jaguh sukan negara turut bertanding. Sorakan demi sorakan diberikan atas nama wakil negara tercinta, Malaysia. Bergegarnya ruang di luar kadang-kadang lebih meriah dari dalam stadium apatah lagi ia diadakan di London sudah pasti turut menjadi keterbatasan sokongan yang mahu diberikan.

Sekiranya ia diadakan di Malaysia, saya percaya stadium akan dipenuhi untuk memberikan sokongan kepada Datuk Lee Chong Wei ataupun Khairul Anuar mahupun Mohd. Azizulhasni Awang serta Pandelela Rinong, Noraseela Mohd. Khalid, Nur Suryani Mohd. Taibi dan Peng Kean Yu. Malaysia diwakili oleh 30 atlet dalam sembilan acara sukan di London 2012.

Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa.

Zaman bola sepak negara tahun 1980-an pasti tidak akan lupa kepada Allahyarham Mokhtar Dahari, Hassan Sani, V Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Torai Raju, Wan Jamak, V Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali.

Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun seringkali kita melihat sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing.

Ketika Perang Dunia Kedua, sukan menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan dan struktur tadbir-urus berbeza.

Sukan diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ia merupakan medium perpaduan negara dan ia dekat dengan diri beliau yang gemar sukan bola sepak. Najib pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1986 sehingga 1990 yang juga melihat perkembangan pesat dalam proses membangun dan meningkatkan tahap aktiviti dan penyertaan sukan dalam kalangan masyarakat.

Dasar Sukan Negara yang menjadi asas memurnikan dan memakmurkan dunia sukan terbentuk sewaktu Najib memimpin Kementerian Belia dan Sukan.

Beliau juga menjadi 'penggerak' dalam mengkaji semula fungsi Majlis Sukan Negara untuk melahirkan atlet bermutu dan berkualiti. Beberapa insentif dan skim diperkenalkan termasuklah untuk jurulatih, atlet dan staf sebagaimana menyediakan biasiswa sukan dalam dan luar negara. Ini tidak ketinggalan program di peringkat sekolah seperti program Kem Bakat dan Tunas Cemerlang untuk mengenal pasti kebolehan bersukan dari peringkat awal lagi.

Penglibatan Najib dalam sukan bersifat menyeluruh. Di samping mengutamakan dasar dan pembentukan agenda pembangunan sukan, Malaysia juga berjaya dari penganjuran sukan di bawah kepimpinan beliau. Ini termasuklah Sukan Malaysia (Sukma) yang diperkenalkan olehnya dan kini menjadi temasya sukan terbesar dalam negara. Sukma XV baru-baru ini diadakan di Pahang bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan'.

Begitu juga dengan kejayaan menganjur Sukan SEA 1989 yang melihat Malaysia memenangi pingat emas terbesar (69 pingat emas) untuk sukan itu; yang juga merupakan pencapaian terbaik yang pernah diduduki oleh Malaysia di arena antarabangsa.

Di samping itu, dalam sukan badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988 dan 1990; sejarah yang masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan negara. Sumbangan Najib diiktiraf di dalam negara apabila menerima Anugerah Emas Kepimpinan SAM-Benson & Hedges 1983 sebagai menghargai sumbangan dalam dunia sukan.

Najib juga pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sains Sukan dari Akademi Sukan Amerika Syarikat kerana kewibawaan serta usaha berterusan untuk meningkatkan tahap pembangunan sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang mentadbir Kementerian Belia dan Sukan.

Peranan kepimpinan arus perdana amat penting dalam menerokai alam sukan sebagai alat perpaduan di samping nilai komersial lain. Yang nyata, sokongan berterusan ke atas sukan akan membolehkan kepelbagaian negara turut menjadi tumpuan. Ia boleh dibangunkan sebagai satu industri yang membawa pulangan besar kepada negara dalam jangka panjang terutama dalam sektor pelancongan dan pelaburan.

Pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melangkaui zaman dengan memperkenalkan litar kereta F1 di Malaysia, menjadi penganjur lumba basikal Tour de Langkawi, mengelilingi dunia dengan kapal layar, dan pendakian Gunung Everest; menyemarakkan semangat 'Malaysia Boleh'. Imej negara terpapar di seluruh dunia dan kesemua ini hanya dapat dilakukan jika negara terus kekal stabil, masyarakatnya tidak terhakis semangat jati diri dan berjiwa Malaysia.

Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak menjadi alat politik tetapi menjadi alat 'penghubung' keseluruhan warganya.

Sukan sebagai alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk sekolah dan kawasan penempatan.

Pencapaian di kesemua peringkat yakni kampung, daerah, negeri dan nasional serta antarabangsa mesti diperluaskan supaya Malaysia akan menjadi gah sebagaimana Jepun dan Korea Selatan yang satu ketika dahulu di belakang Malaysia. Mutu pencapaian di peringkat antarabangsa banyak bergantung kepada organisasi dan bukan semata-mata atlet yang terlibat.

Apa gunanya atlet memiliki keupayaan dan kecergasan tetapi permusuhan dalam organisasi menyebabkan atlet hilang motivasi dan keazaman. Keistimewaan seseorang dalam sukan jangan disekat hanya kerana kepentingan diri ke atas kedudukan dalam organisasi.

Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh.

Ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat 'kekitaan'.
Misalnya, anugerah Kalung Perpaduan kepada Kelab Sukan Sportsunite oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap penerimaan ke atas konsep Satu Malaysia.

Yang penting adalah usaha menganjurkan karnival sukan termasuklah badminton, hoki, futsal, bola sepak, boling, bola jaring, ping pong, taekwando, bola keranjang dan kabadi. Perpaduan sebegini boleh diperpanjangkan ke dalam kehidupan harian kita.

Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan 'kemajmukan' bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satu Matlamat'.

Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini.
Sukan adalah 'penjana' dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini di bawah prinsip 1Malaysia.

Apabila Chong Wei melangkah masuk ke gelanggang badminton pertandingan akhir sukan Olimpik, apakah yang mahu kita lihat; bukankah kejayaan memenangi pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik?

Sokongan padu dan harapan setiap warga Malaysia pasti akan dihargai oleh beliau kerana Chong Wei bukan sekadar mewakili dirinya tetapi beliau juga menjunjung semangat jati diri 28 juta populasi Malaysia.
Beliau dan atlet lain adalah milik Malaysia sebagaimana kita mempunyai tanggungjawab mempertahankan apa sahaja yang boleh mengancam keselamatan negara, biarlah 'yang ringan sama dijunjung, yang berat sama dipikul' kerana kita rakyat Malaysia. Ia boleh dimanfaatkan secara berterusan melalui sukan.

SUKAN MASSA

SUKAN MASSA

Sukan untuk Semua (Sukan Massa)

Sukan  untuk  semua  bertujuan  untuk  mengekalkan  dan  meningkatkan  tahap kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia. Sukan Massa adalah merujuk kepada aktiviti-aktiviti sukan yang berlaku secara menyeluruh atau diuruskan dengan tujuan  untuk  menggalakkan  penyertaan  yang  lebih  luas  dan  bukan  semata-mata untuk pertandingan di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

Apakah itu Pergerakan Sukan untuk Semua?
Pergerakan Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) adalah satu kempen sosial secara sistematik  dan  menyeluruh  untuk  memelihara,  mengubah  atau  memperbaiki kekurangan-kekurangan  dalam  sesuatu  sistem  sosial.  Sukan  Massa  merupakan usaha  untuk  melibatkan  masyarakat  dalam  sukan  secara  sukarela  dan memanjangkan  kepada  semua  lapisan  dalam  masyarakat.  Sukan  Massa  juga
bertujuan  menyedarkan  masyarakat  terhadap  faedah-faedah  sukan  kepada pembangunan kesihatan, sosial, psikologi,  pendidikan dan kebudayaan. Oleh  itu  Sukan  Untuk  Semua  (Sukan  Massa)    adalah  satu  usaha  menggalakkan penglibatan sukan dan aktiviti  fizikal kepada  rakyat Malaysia.   Sukan Untuk Semua (Sukan Massa)  bertujuan membentuk masyarakat Malaysia  yang    cergas  dengan mengamalkan nilai-nilai sukan tradisional dan moden. Dengan kata lain Sukan Untuk Semua  (Sukan Massa)  adalah  untuk membentuk  satu masyarakat Malaysia  yang sihat  secara  menyeluruh  dan  membina  satu  masyarakat  bersatu-padu, persahabatan, aman dan sejahtera untuk semua manusia di dunia.

Konsep
Sukan Untuk Semua (Sukan Massa)  merupakan satu idea untuk memasyarakatkan sukan.  Dengan  kata  lain  Sukan  Massa  mengajak  seluruh  lapisan  masyarakat mengambil bahagian di dalam kegiatan sukan, rekreasi dan kecergasan. Penyertaan ini  juga  perlu  dilakukan  secara  berterusan  sepanjang  hayat  hingga menjadikannya suatu gaya hidup.

Aktiviti-aktiviti Sukan Untuk Semua  (Sukan Massa)  terdiri daripada berbagai aktiviti  contohnya :
sukan, (bola sepak, badminton, sepak  takraw dan  lain-lain),
kecergasan, (jogging, berjalan kaki,  taichi dan  lain-lain),
outdoor  (mendaki, berkeno, berkhemah dan mengembara).


Kegiatan  sukan boleh merangsang pembinaan  suatu masyarakat  yang  cergas dan proaktif  di  samping merupakan  suatu  alat  yang  berkesan  ke  arah  perpaduan  dan semangat cintakan negara. Sukan Untuk Semua (Sukan Massa) menyokong kepada prinsip-prinsip am pendidikan sepanjang hayat.

Matlamat
Sukan  Untuk  Semua  (Sukan  Massa)  melalui  konsep  Malaysia  Cergas  adalah bermatlamat  untuk  menimbulkan  kesedaran  di  kalangan  masyarakat  Malaysia tentang  pentingnya  kesihatan  yang  boleh  dipupuk  melalui  kegiatan  fizikal  dan rekreasi.  Kesedaran  ini  akan menimbulkan minat  dan  akan  terus  dipupuk melalui pendidikan  sukan.  Langkah  ini  akan merangsang  lagi  penyertaan  dalam  kegiatan
sukan,  rekreasi  dan  kecergasan. Pergerakan Sukan Untuk Semua  (Sukan Massa) juga  ingin  membentuk  satu  imej  Nasional  yang  akan  menjadikan  masyarakat Malaysia sebagai suatu bangsa 'peserta' dan bukannya 'penonton'.