Thursday, June 6, 2013

Ragbi Malaysia mampu capai Olimpik

KUALA LUMPUR - Legenda ragbi England, Martin Bayfield berpendapat bukan mustahil untuk Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 2016 dalam sukan lasak tersebut.
Kata Bayfield, Malaysia mampu untuk cemerlang kerana saiz fizikal bukan lagi halangan buat sebuah pasukan memiliki kelebihan mutlak.
Menurutnya, pasukan yang tidak mempunyai kelebihan fizikal masih boleh bersaing andai mempunyai susunan strategi dan taktikal yang baik.
"Memang diakui ragbi memerlukan fizikal yang besar tetapi itu tidak memberikan apa-apa makna andai tidak mempunyai percaturan yang sempurna.
"Sebagai contoh pemain Jepun mempunyai fizikal yang tidak begitu terlalu besar dan tinggi tetapi mereka masih mampu menjadi pasukan yang hebat dan mengapa tidak buat pasukan negara ini (Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan klinik kejurulatihan ragbi di sini, semalam.
Klinik tersebut adalah salah satu program anjuran Dewan Perdagangan Britain Malaysia (BMCC). Selain Bayfield turut terlibat dalam klinik tersebut adalah dua lagi legenda ragbi iaitu bekas pemain kebangsaan Scotland, Gavin Hastings dan Joe Roff dari Australia.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah BMCC, Datuk Peter Wentworth berkata, klinik tersebut adalah kali kesembilan dianjurkan bagi membantu golongan kanak-kanak dan remaja mempelajari teknik bermain ragbi dengan baik.
"Legenda ragbi yang kami jemput ini mempunyai kemahiran tersendiri dan segala ilmu yang mereka ada akan dicurahkan kepada pemain muda di sini.
"Sebagai contoh Bayfield amat mahir dalam posisi sebagai lock foward dan kanak-kanak yang menyertai klinik ini dapat mempelajari ilmu gaya permainan dengan lebih baik menerusi bekas pemain yang kami jemput," kata Wentworth.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130605/su_05/Ragbi-Malaysia-mampu-capai-Olimpik#ixzz2VQ3bVDag
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment