Thursday, June 6, 2013

Ragbi Malaysia mampu capai Olimpik

KUALA LUMPUR - Legenda ragbi England, Martin Bayfield berpendapat bukan mustahil untuk Malaysia beraksi pada Sukan Olimpik 2016 dalam sukan lasak tersebut.
Kata Bayfield, Malaysia mampu untuk cemerlang kerana saiz fizikal bukan lagi halangan buat sebuah pasukan memiliki kelebihan mutlak.
Menurutnya, pasukan yang tidak mempunyai kelebihan fizikal masih boleh bersaing andai mempunyai susunan strategi dan taktikal yang baik.
"Memang diakui ragbi memerlukan fizikal yang besar tetapi itu tidak memberikan apa-apa makna andai tidak mempunyai percaturan yang sempurna.
"Sebagai contoh pemain Jepun mempunyai fizikal yang tidak begitu terlalu besar dan tinggi tetapi mereka masih mampu menjadi pasukan yang hebat dan mengapa tidak buat pasukan negara ini (Malaysia)," katanya kepada pemberita selepas mengadakan klinik kejurulatihan ragbi di sini, semalam.
Klinik tersebut adalah salah satu program anjuran Dewan Perdagangan Britain Malaysia (BMCC). Selain Bayfield turut terlibat dalam klinik tersebut adalah dua lagi legenda ragbi iaitu bekas pemain kebangsaan Scotland, Gavin Hastings dan Joe Roff dari Australia.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah BMCC, Datuk Peter Wentworth berkata, klinik tersebut adalah kali kesembilan dianjurkan bagi membantu golongan kanak-kanak dan remaja mempelajari teknik bermain ragbi dengan baik.
"Legenda ragbi yang kami jemput ini mempunyai kemahiran tersendiri dan segala ilmu yang mereka ada akan dicurahkan kepada pemain muda di sini.
"Sebagai contoh Bayfield amat mahir dalam posisi sebagai lock foward dan kanak-kanak yang menyertai klinik ini dapat mempelajari ilmu gaya permainan dengan lebih baik menerusi bekas pemain yang kami jemput," kata Wentworth.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130605/su_05/Ragbi-Malaysia-mampu-capai-Olimpik#ixzz2VQ3bVDag
© Utusan Melayu (M) Bhd

Massa dapat casis baru

Montreal: Pemandu Ferrari, Felipe Massa akan mempunyai casis baru yang akan digunakan hujung minggu ini di Grand Prix Kanada selepas dua kali terbabit dengan kemalangan teruk pada perlumbaan terakhir di Monaco, kata pasukan Itali itu.
Massa merempuh halangan di selekoh Sainte Devote pada sesi latihan terakhir dan turut terbabit dengan kemalangan ketika perlumbaan dengan kemalangan pertama disebabkan oleh kesilapan pemandu dan kedua kerana kegagalan suspensi.
Ferrari dalam laman web mereka berkata, Massa akan menggunakan casis baru yang dibuat semula di kilang Maranello apabila berlumba di Montreal.
Prinsipal pasukan, Stefano Domenicali berkata, pasukan akan turut memberi tumpuan kepada beberapa isu yang timbul untuk diselesaikan.
“Apa yang pasti, pasukan ini begitu bersemangat dan kami berazam untuk melupakan apa yang berlaku di Monaco dan menyifatkan ia sebagai insiden terpencil,” katanya.
“Kereta kami sudah membuktikan kekuatan dengan ciri yang baik dalam kebanyakan kes biarpun pada masa yang sama pasukan lain membuktikan mereka lebih pantas,” katanya.
“Saya berpendapat litar Montreal perlu membenarkan kami mengeksploitasikan beberapa perkara utama seperti brek kerana ia adalah perkara utama yang akan diberi penekanan di atas litar ini selain perlu terus berusaha memastikan beberapa perkara untuk diperbaiki.” Pemandu Sepanyol, Fernando Alonso kini menduduki tempat ketiga keseluruhan untuk Ferarri ketinggalan 29 mata kepada juara tiga kali daripada Red Bull, Sebastian Vettel selepas enam perlumbaan. Massa di tempat ketujuh ketinggalan 62 di belakang pemandu Jerman itu.
Ferrari kini menduduki tempat kedua dalam kedudukan pengeluar tidak pernah memenangi perlumbaan di Kanada sejak Michael Schumacher meraihnya pada 2004.